Perlukan Bantuan Menangani Keresahan di Sekolah?

Keresahan atau anxiety ialah satu emosi atau perasaan tidak senang atau takut. Perasaan ini
biasanya datang dengan rasa risau atau gelisah. Remaja yang mempunyai keresahan mungkin sukar
meminta bantuan, terutamanya pada waktu persekolahan. Berikut beberapa tip mudah untuk
menangani keresahan di sekolah.

  • Kenal Pasti & Rancang – Kenal pasti apa yang mencetuskan keresahan anda dan rancang langkah untuk mengatasinya. Contohnya, jika anda rasa resah semasa membuat pembentangan di depan orang lain, mungkin anda boleh berlatih di depan cermin atau dengan rakan-rakan rapat terlebih dahulu.

  • Minta Bantuan di Sekolah – Bincang dengan pihak sekolah bagaimana untuk menangani keresahan. Walaupun berjumpa dengan guru atau kaunselor mungkin menakutkan, ini boleh membantu anda. Setiap sekolah berbeza, jadi mungkin ada kemudahan atau cara tertentu di sekolah anda untuk membantu menangani keresahan.

  • Mengambil Nafas – Keresahan boleh muncul secara tiba-tiba, dan bukan mudah untuk mendapatkan bantuan segera. Bersedialah lebih awal dengan mempelajari beberapa teknik pernafasan untuk membantu anda bertenang dalam situasi ini (teknik pernafasan 4-7-8, mindful breathing, dll.).

  • Luahkan Perasaan – Kita sentiasa dikelilingi orang yang menyayangi dan prihatin terhadap kita. Luahkan perasaan kepada orang di sekeliling anda, seperti ibu bapa, adik-beradik dan rakan-rakan untuk mendapatkan sokongan.

  • Berehat – Kami faham. Adakalanya keresahan buat kita rasa lemah dan ingin mengalah. Tapi tak apa! Beri peluang kepada diri sendiri, berundur seketika, dan dapatkan rehat apabila perlu.

Bagi sesetengah remaja, sekolah boleh jadi persekitaran yang menekan dan mendatangkan
keresahan. Oleh itu, lebih baik anda bersedia sebelum keresahan datang melanda semasa di
sekolah!